Sunday 26 December 2010

Monday 13 December 2010

Tipu Daya Syaitan (2)

Iblis tidak henti-henti berbisik.

Perkara tersebut berjalan beberapa waktu. Suatu ketika,iblis mendatanginya dan berkata :

"sebaiknya,kamu masuk ke rumah gadis itu dan berbicara dengannya. Sebabnya, seandainya kamu membiarkan wajahnya dilihat orang lain, tentu lebih baik kamu yang melihatnya."

Iblis terus-menerus membisiknya, sehingga dia pun melakukannya dan menghabiskan sepanjang harinya untuk berbicara dengan si gadis itu.Menjelang petang, si ahli ibadah kembali semula ke tempat ibadahnya.

Pada suatu hari, iblis mendatanginya dan merayunya sehingga si ahli ibadah itu berani memegang kaki si gadis dan terus merembetnya ke tempat lain.Maka, berlakulah penzinaan sehingga gadis itu hamil dan melahirkan seorang bayi.

Iblis tidak terhenti setakat itu.Digodanya si ahli ibadah itu terus-menerus. Si iblis berkata :

"tahukah kamu,jika saudara-saudaranya pulang dan menemui saudara perempuannya telah mempunyai anak, apa yang akan kamu lakukan!"Tidak ada cara lain melainkan kamu harus menceritakan apa yang telah terjadi atau mereka akan memaksamu untuk menceritakannya."

Maka,segeralah kamu ambil anaknya dan bunuhlah serta kuburkanlah sehingga perbuatan kamu tidak akan diketahui oleh mereka semua."

Si ahli ibadah pun melakukannya.

Si iblis berbisik lagi : "apakah kamu yakin si gadis itu akan menyembunyikan apa yang telah kamu buat daripada saudara-saudara lelakinya?"Bunuhlah si gadis itu dan kuburkan bersama anaknya sekali."

Maka, dibunuhnya si gadis itu bersama anaknya dan dikuburkan dalam 1 lubang lalu ditutupnya dengan batu besar dan meratakannya dengan tanah.

Dia kembali semula ke tempat ibadahnya selama beberapa waktu.Saudara-saudara si gadis itu datang menemuinya dan menanyakan tentang saudara perempuannya. Si ahli ibadah itu menceritakan tentang kematian si gadis itu. Mereka semua bersedih dengan berita itu.

Di kala menjelang malam, si iblis mendatangi mereka semua dalam bentuk orang yang sedang dalam perjalanan. Si iblis itu menemui yang paling tua dan menanyakan tentang kematian saudara perempuannya. Lalu, dia ceritakan sepertimana yang diberitahu oleh si ahli ibadah itu.

Si iblis itu berkata bahawa si ahli ibadah itu menipu dan ia memberitahu bahawa si ahli ibadah itu telah melakukan zina dengan adiknya dan menyebabkannya mengandung. Si ahli ibadah telah membunuhnya dan telah menguburkannya dalam 1 lubang di belakang pintu sebelah kanan dari pintu masuk."Pergilah periksa,maka kamu akan dapati bahawa semua yang aku ceritakan adalah benar."

Si iblis itu mendatangi saudara yang kedua dan seterusnya mendatangi saudara yang paling muda dan si iblis itu menceritakan perkara yang sama diceritakan kepada saudara yang sulung.

Ketika terbangun, mereka semua terkejut dan tidak mempercayai mimpi tersebut.Namun, yang paling muda mengatakan bahawa dia akan pergi memeriksa tempat yang telah dinyatakan dalam mimpinya.

Akhirnya, mereka menemui mayat saudara perempuan dan anakmya. Lalu, mereka mendatangi si ahli ibadah itu dan si ahli mengaku perbuatannya sehingga dia diputuskan hukuman bunuh.

Ketika si ahli ibadah disalib, syaitan mendatanginya dan berkata : Adakah kamu mengenali aku?

"tidak" jawab si ahli ibadah itu.

"aku adalah temanmu yang mengajarmu beberapa doa.Tidakkah kamu takut pada Allah?Tidakkah kamu malu di depanNya?Padahal kamu ialah orang yang paling ahli ibadah,sehingga kamu menghina dirimu melakukan perbuatan tersebut dan kamiu mengakuinya.Jika kamu mati dalam keadaan seperti ini, maka tidak akan ada seorang pun yang akan menyelamatkanmu."

"jadi, apa yang perlu aku buat?"tanya si ahli ibadah itu.

"patuhilah aku dalam 1 perkara sahaja nescaya aku akan menyelamatkan kamu serta membalas perbuatan mereka."

"iaitu...sujud pada ku sekali sahaja."

Lalu si ahli ibadah itu mengikut arahan syaitan yang menyamar tadi dan terus kepadannya.
Maka,si ahli ibadah itu mati dalam keadaan kufur kepada Allah.

Syaitan itu berkata :

" inilah yang aku ingin dari kamu, sehingga kamu kufur dengan Tuhanmu.."

Sunday 21 November 2010

Tipu Daya Syaitan (1)

Firman Allah dari surah al-hasyr ayat 16-17 yg bermaksud :

"seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia; "kafirlah kamu",maka tatkala manusia telah kafir,syaitan pun berkata: "sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah,tuhan sekalian alam."Maka kesudahan keduanya, mereka kekal di dalamnya (neraka).Demikianlah balasan bagi orang-orang yang zalim.

Sebab turunnya ayat di atas.

Menurut Wahab bin Munabbih:

Suatu ketika,tinggallah seorang ahli ibadah dari kalangan bani Israil yang dikenali pada zamannya.Pada zaman itu juga tinggal 3 orang saudara lelaki yang memiliki seorang saudara atau adik perempuan. Suatu hari, 3 bersaudara itu mendapat tugas untuk berperang.Mereka tidak tahu kepada siapa hendak dititipkan satu-satunya saudara perempuan mereka.


Setelah berbincang,akhirnya mereka bersetuju untuk meminta pertolongan ahli ibadah yang terkenal itu.Pada pandangan mereka,ahli ibadah itulah yang boleh dipercayai.


Pada awalnya,si ahli ibadah itu menolak permintaan 3 bersaudara itu.Setelah mereka terus menerus memujuk si ahli ibadah itu, akhirnya ahli ibadah itu bersetuju.Si ahli ibadah itu meminta mereka membawa saudara perempuan mereka ke rumah di hadapan tempat ibadah si ahli ibadah tersebut.Setelah itu,ketiganya segera pergi dan tinggallah saudara perempuan mereka bersama si ahli ibadah itu untuk beberapa waktu.

Si ahli ibadah menyediakan dan menyiapkan makanan untuk si gadis dan meletakkan di depan pintu tempat ibadahnya dan terus naik ke tempat ibadahnya sambil memanggil si gadis untuk mengambil makanan itu.

Syaitan pun mulalah menggoda.Ditiupkan rasa kasihan dalam diri si ahli ibadah pada si gadis itu.
Syaitan mula "memikatnya" dengan kebaikan dan pahala. Syaitan berkata: "kalau kamu berjalan untuk menghantarkan makanan di depan rumah si gadis itu, tentu lebih besar pahala kamu." Si ahli ibadah terpujuk dengan pujuk rayu syaitan yang licik itu.

Setelah beberapa waktu,syaitan menggoda lagi.Kali ini digodanya si ahli ibadah itu untuk mengajak si gadis berbual, dengan alasan si gadis itu tentu sunyi dan sendiri.Mulalah si ahli ibadah itu berani menyapa dari atas tempat ibadahnya.

Kali ini syaitan itu menggoda lagi.

Dibisikkan kepada ahli ibadah itu: "kalau kamu turun dari tempat ibadahmu dan berbual di depan tempat ibadahmu sambil dia duduk di depan pintu rumahnya, tentu lebih baik dan menyenangkan."

Nah!licik sungguh penangan syaitan laknatullah itu.Kekadang syaitan datang menggoda manusia dari pintu nasihat dan menyeru pada kebaikan dan kebajikan.

Syaitan tidak pernah puas menggoda.Selepas itu, dipujuknya lagi dengan pahala yang lebih banyak dengan berkata: "kalau kamu duduk dan berbual dekat dengannya,tentu dapat membuatkannya senang dan gembira."Akhirnya si ahli ibadah melakukannya.

Apakah lagi godaan dan pujuk rayu syaitan kepada ahli ibadah tersebut?

Nantikan sambungannya,insyaALLAH..=)


Saturday 6 November 2010

Pesakitku berteka-teki.

Bismillahirrahmanirrahim..


Suatu ketika di wad psikiatri..


Ketika saya dan 2 orang kawan sedang berborak-borak dengan seorang pesakit (sambil mengambil sejarah pesakit tersebut),kami diberikan teka-teki.Teka-tekinya berbunyi seperti ini:


Q: "kenapa superman pakai seluar saiz S?"


Macam-macamlah jawapan yang kami bagi.Ada yang jawab sebab dia Superman,jadi dia pakai lah seluar S.


"tak.."sambil menggelengkan kepalanya perlahan-lahan dengan mukanya yang seolah-olah tiada facial expression,muka "blur"..

Tapi bukanlah maksud saya orang yang blur sebab tidak faham sesuatu perkara itu schizophrenia,ye.Inilah salah satu ciri-ciri pesakit schizophrenia, blunt face.It could be one of the side effect of medication (antipsychotic)

Dia pun memberikan jawapan: "sebab kalau dia pakai saiz lain nanti tak muatlah..."

Sambil dia ketawa kecil,tapi agak restricted (macam nak tak nak je).Kami pun ikut ketawa sekali. Lawak juga budak nih.

Umurnya lebih kurang 19tahun.Sejarahnya agak dramatik,pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah.Sekarang ini dia pula yang berani buli orang. Pernah diceritakan pada kami yang dia pernah memukul seorang pesakit lain yang agak berumur (saya tak berapa jelas sebabnya) sehingga menyebabkan kematian!.


Hurm..betul-betul "Jangan sangka air tenang tiada buaya.."

Tetapi dia tidak akan berkasar tanpa sebab atau kalau kita pandai approach dia.Orangnya pandai bermain catur.
Kalau anda bermain dengan orang seperti ini, walaupun anda juara catur dunia,pastikan "buat-buat" lah kalah sekali-sekala..


"Ok.teka-teki yang lain pulak."


"kalau gajah terjun tingkap, nanti apa yang pecah?"


Kali ini kami kena jawab dengan betul,tak boleh salah lagi.Mesti jawapannya lebih kurang je patternnya dengan jawapan soalan superman tadi,jawapan yang tidak disangka-sangka,jawapan yang agak "kritis and kreatif."


"haa..jawapannya..pecah rekod lah.."


"betul..hehe" dia ketawa lagi.

p/s : jangan buli atau merendah-rendahkan orang lain samada secara fizikal atau kata-kata.berdosa..orang yang dizalimi doanya cepat dimakbulkan ALLAH.

Tuesday 19 October 2010

Hari pertama di wad psikiatri

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah..dengan izin dan rahmatNya,saya masih diberi peluang dan kudrat untuk menulis di blog ini walaupun sudah beberapa kali mencuba untuk berbuat demikian.Malu untuk mengatakan "sibuk"sebagai alasan, sedangkan ada lagi yang lebih sibuk dari saya pun masih sempat untuk update blog mereka, masih sempat untuk membuat kerja-kerja Islam yang lain selain tanggungjawab sebagai seorang pelajar.Muhasabah buat diri yang kerdil ini.

Bercerita tentang pengalaman berpraktikal,alhamdulillah selepas posting kanak-kanak yang beberapa minggu berlalu,posting yang seterusnya dan yang saya sedang jalani sekarang ialah psychiatry posting (psikiatri atau kesihatan mental)

Minggu ini saya dihantar untuk berpraktikal di Temerloh dahulu.Wad psikiatri di sini hanya satu wad sahaja dan keadaan wadnya sama seperti wad lain, iaitu open space, tidak berpagar atau dengan kata lain tidak seperti bilik kurungan atau "penjara".Bezanya ialah keluar masuk wad psikiatri ini menggunakan kad akses, bagi mengelakkan pesakit melarikan diri..Medical assistant (MA) juga pun perlu sentiasa berada di dalam wad tersebut bagi memantau keadaan di dalamnya. Kalau ada pesakit yang bertindak di luar kawalan,MA lah yang banyak bertindak selain mendapatkan bantuan dari pengawal keselamatan.

Kes di wad..

Hari pertama di dalam wad selalunya akan mengundang "blur"; tidak tahu cara hendak approach pesakit yang psikotik.Sebelum melangkah lebih jauh,eloklah saya cerita sedikit sebanyak kes yag terdapat di wad ini.

Kes yang paling banyak terdapat di wad ini ialah schizophrenia. Schizophrenia ialah penyakit mental psikotik (psychotic mental disorder) yang menyebabkan gangguan pada pemikiran, mood dan kelakuan atau perangai pesakit tersebut.Istilah ini diciptakan oleh Eugen Bleuler (1857 – 1939) pada tahun 1908.

Pesakit akan menghadapi gangguan delusi dan halusinasi dan biasanya penyakit ini terjadi pada mereka yang berumur di antara 18-38 tahun. Delusi banyak jenisnya,begitu juga dengan halusinasi.

Contoh delusi : Percaya bahawa diri adalah nabi.(Contoh terdekat:ayah pin..)

Contoh lain: percaya bahawa ada orang cuba untuk mencederakan dia.

Contoh halusinasi : Dengar suara dari luar(bukan dari hati) yang menyuruhnya bunuh diri.Suara itu tidak dapat dikawal dan ia berterusan dalam keadaaan pesakit itu sedar.

Etiologi atau sebabnya tidak dapat dikenal pasti, tetapi ada yang berpendapat ia disebabkan oleh ketidakseimbangan dopamine yang terdapat di dalam otak kita. Ada beberapa teori lagi yang disebut menjadi penyebab penyakit ini.

Rawatan untuk penyakit ini ialah dengan ubat antipsychotic yang perlu dimakan secara berdisplin.Selain itu,sokongan keluarga amatlah penting bagi mengurangkan risiko ia terjadi kembali(recurrent) atau menjadi semakin teruk.

Antara kes lain yang terdapat di wad ini ialah major depression (kemurungan) dan juga Bipolar disorder(BD).Bipolar disorder??Lain kali insyaALLAH saya kongsi apa itu BD.

Sebelum berlalunya hari pertama saya di wad ini, saya disapa oleh salah seorang pesakit perempuan.

"Dr,kalau saya ada nak cerita,boleh ke saya cerita kat Dr?"

"boleh.."sambil membalas senyuman yang diberikan.

Alhamdulillah..ALLAH permudahkan urusan.Akhirnya saya yang di approach,bukan saya yang meng approach. Kami berborak untuk beberapa minit sebelum saya ditegur oleh salah seorang bekas pesakit yang ada temu janji doktor pada petang itu.

Wednesday 6 October 2010

Sempena konvensyen keushawanan Islam kali ke 6 (Iceps 6) akan berlangsungnya satu forum alternatif kewangan Islam seperti tertera dalam poster di bawah:



Dalam poster di atas,ahli panel pertama Prof Ahamad Kameel tidak dapat datang atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,maka beliau bakal digantikan dengan Dr Hassaneddeen B.Abd Aziz(Dean,Centre for Postgraduate Studies)

Masuk adalah percuma dan semua dijemput hadir.

InsyaALLAH akan diadakan sekali pameran dinar dan dirham pada malam tersebut.

Tuesday 27 July 2010

Tentang cinta

Bismillahirrahmanirrahim..

Beberapa hari lepas, saya telah menerima SMS daripada seorang teman, mengadu tentang masalah peribadinya. Saya namakannya sebagai Nur.Nur seorang pelatih jururawat di salah sebuah kolej swasta dan kami mengenali antara satu sama lain ketika sama-sama berpraktikal di salah sebuah hospital di tanah air ini.

Bukan mudah untuk seseorang meluahkan masalah peribadinya kepada individu yang dikenali dalam pertemuan yang tidak dirancang, ditambah pula dengan tempoh perkenalan yang begitu baru.

"cinta nafsu"

Nur mengadu tentang teman lelakinya yang mulai menunjukkan tanda-tanda sudah bosan dengan hubungan mereka.Pernah dia diuji lelaki itu supaya mengorbankan maruah dirinya sebagai seorang wanita bagi kemahuan nafsu seorang lelaki! Astaghfirullah…Namun Alhamdulillah,ternyata Nur masih punya kekuatan untuk mengatakan “tidak” dan ingin memutuskan hubungan yang terlarang itu. Namun,lelaki yang sememangnya dikurniakan ALLAH dengan sembilan akal dan satu emosi bijak memujuk Nur dengan mengatakan:

"saya hanya nak menguji awak.."

Disebabkan cinta yang mendalam pada lelaki itu,Nur memaafkannya dan meneruskan kembali hubungan itu.Itulah dia wanita.Begitu setia pada cinta yang belum tentu pengakhirannya, walaupun lelaki itu hampir menduga maruahnya.

Kesabaran saya agak tercabar dengan keputusan Nur,namun marah bukanlah penyelesaiannya.

Saya tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja, samada Nur atau lelaki tersebut.Kalau diikutkan, sememangnya lelaki itu yang bersalah,tetapi rentetan semua masalah itu berpunca dari permulaan "kisah cinta" mereka.Mana mungkin pokok bergoyang kalau angin tidak meniupnya?

Sememangnya cinta itu merupakan fitrah yang dikurniakan ALLAH ke dalam jiwa setiap manusia.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri , supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya , dan dijadikan-Nya diantara kamu rasa kasih sayang .Sesungguhnya pada yang demikian itu benar- benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. “ (Ar Rum ayat 21)

Cinta itu hadir tanpa disedari dan ia bukan suatu kesalahan jika anda mula mempunyai rasa tertarik atau suka pada seseorang dari jenis yang berlainan kerana itu sememangnya fitrah kurniaan ALLAH. Yang penting, perasaan itu hendaklah dikawal dan disalurkan dengan cara yang betul.

Syaikh Abu Muhammad Ali bin Ahmad bin Hazm azzahiriy al-Andalusiy dalam bukunya "di bawah naungan cinta":

"Sesungguhnya jiwa dan hati kita sentiasa berada dalam genggaman ALLAH yang maha menggenggam.Dia tidak pernah memerintahkan hati kita kecuali untuk menimbang mana yang benar dan salah.Kemudian meyakini dan menempuhi jalan yang benar sepenuh hati.Sementara itu,cinta bukanlah dosa tapi tabiat alami manusia.Adapun yang seharusnya kita lakukan adalah mengendalikan anggota badan kita supaya tidak terjerumus dengan perkara yang diharamkanNya."

“cinta nafsu vs cinta syar'ie”

Cinta nafsu ialah cinta yang dijalinkan tanpa ikatan pernikahan dan disalurkan rasa cinta pada pasangan masing-masing dengan cara yang haram mengikut hawa nafsu seperti keluar berdua-duan, berpegangan tangan dan seumpamanya.

Kata-kata seorang ustaz ketika berada di tahun satu pengajian masih segar di ingatan saya:

Hubungan yang dimulakan dengan sesuatu yang haram,tidak akan berkekalan.”

Ustaz menceritakan perihal seorang kawannya sebelum berkahwin.Kawannya pernah berpegangan tangan dengan kekasih/tunangnya.Perkahwinan mereka tidak bertahan lama dan berakhir dengan perceraian.Hanya berpegangan tangan dan bukannya berzina,tetapi impaknya sama.

Inilah yang ALLAH kata dalam firmanNya: "jangan menghampiri zina..”

Bagaimana pengakhiran sesebuah perhubungan, tengok dahulu bagaimana ia dimulakan.

Cinta syarie ialah cinta yang disalurkan dengan cara pernikahan kerana hanya dengan pernikahan sahaja sesuatu yang haram itu menjadi halal bagi pasangan suami isteri.

"Tidak terlihat di antara dua orang yang saling mencintai (sesuatu yang sangat menyenangkan) seperti pernikahan." (Sunan Ibnu Majah)

Itulah fitrah jiwa yang kita maklumi bersama.

Dalam surah al-Aaraf : 189

"Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu (nafs waahidah) dan darinya Dia menciptakan isterinya, agar dia berasa tenteram kepadanya."

Dalam ayat di atas, ALLAH telah menjadikan ketenteraman pada diri seseorang lelaki pada pasangannya (isterinya) yang sebenarnya berasal dari dirinya.Subhanallah!

"Cinta yang hakiki"

Ya.Cinta kepada ALLAH merupakan cinta yang sebenar dan cinta yang berkekalan hingga ke akhir hayat.Itulah cinta orang yang beriman.

"adapun orang-orang mukmin itu sangat besar cintanya pada ALLAH."(al-Baqarah:165)

"buat apa yang ALLAH suruh,tinggalkan apa yang ALLAH larang"

Begitu gampang sekali pra syarat untuk mendapat cinta Ilahi,namun..

"Katakanlah : Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara -saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada ALLAH s.w.t dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, Maka tunggulah sampai ALLAH mendatangkan keputusan-Nya." ( at-Taubah : 24 )

.....hanya yang betul-betul bermujahadah bisa mendapatkannya.

"Cinta orang mukmin itu memang"buta"..Mereka tidak nampak lagi ranjau dan duri untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.Mereka "buta" kepada sebarang kesusahan demi menunaikan perintah ALLAH. Mereka rela mengorbankan segala kesukaan dan kesenangan dirinya apabila semua itu melanggar perintah ALLAH. Tidak ada istilah "tidak" apabila berdepan dengan perintah ALLAH.Apabila berdepan dengan cinta ALLAH, segala cinta yang lain dirasakan kecil dan terpinggir" (Ustaz Pahrol Juoi)

Subhanallah!Indahnya cinta orang mukmin.

~Ya ALLAH..adakah aku benar-benar telah mencintaiMU??~

Sunday 25 July 2010

Cuti dan Usrati

Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi peluang kepada saya untuk terus menulis lagi, walaupun hakikatnya terasa agak kering dengan idea.Semoga saya tetap terus istiqomah dalam menulis.

Alhamdulillah sebab dapat balik kampung juga akhirnya.

Rindu pada Umi Abah dan adik-adik.Rindu juga hari Jumaat di Kelantan. (nak tahu kenapa,silalah berkunjung ke Kelantan)

Kebetulan pula kepulangan kali ini,saya sempat meraikan 3 hari yang cukup bermakna,alhamdulillah.. (ain dan farid,jangan jealous ye =P)

Kelmarin (23 Julai) ialah hari lahir ke- 9 adik bongsu saya.Hari lahirnya sama dengan hari lahir Najib yang ke 57.Ops! Dato' Seri Najib,PM Malaysia. Oh,baru 57 tahun,ingatkan dah 60 lebih.
Wah,adik..your birthday sama dengan PM.InsyaALLAH,dirimu juga punya bakat kepimpinan.Kepimpinan seorang serikandi muslimah =)
Semalam pula, 24 Julai ialah hari ulang tahun perkahwinan Umi dan Abah yang ke-24."Happy anniversary ke-24 Umi dan Abah.Semoga Umi dan Abah bahagia selalu hingga ke akhir hayat, di dunia dan juga akhirat,amin.."

Tahniah diucapkan buat Umi tersayang kerana menjadi salah seorang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) yang berlangsung pada hari Jumaat (kelmarin) di Equatorial Hotel,Bangi.Umi kata Umi orang yang ke 63 naik ke pentas untuk menerima anugerah, dan nombornya sama dengan tahun kelahiran Umi iaitu tahun 1963. Apapun nombornya,Umi tetap no.1 di hati kakak dan adik-adik..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Setiap orang punya cara tersendiri untuk menyatakan rasa kasih dan sayang pada individu yang disayangi,terutamanya pada ibu bapa sendiri.Apapun caranya,doa untuk kebahagiaan keduanya setiap kali lepas solat jangan sesekali dilupakan. Setiap orang juga inginkan zuriat keturunan mereka dipelihara oleh ALLAH daripada perkara-perkara yang tidak diingini.Justeru, sentiasalah berdoa dengan doa :

"rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurrota aa'yun.waja'alna lil muttaqiina imaama"

Doa tersebut juga dibaca untuk mencari jodoh..

Allahu'alam.

p/s : lagi best kalau ain dan farid pun ada sekali =)

Monday 10 May 2010

Nak minta tolong?

Solawaatu...
kedengaran alunan selawat dari handphone saya.Itu tandanya ada mesej baru memenuhi inbox.

"salam.kak,nak minta tolong akak...."
"salam.marahaini,boleh tak tanyakan..."
"salam.boleh ukhti tolong..."

Sejak akhir-akhir ini,saya menerima agak banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon daripada sahabat-sahabat seperjuangan berbentuk tugasan dan bantuan.Kebetulan,SMS dan panggilan tersebut diterima ketika saya sedang bercuti bersama-sama dengan keluarga.Tentunya bunyi handphone itu agak sedikit mengganggu "ketenteraman"percutian keluarga saya.Namun,rehat atau cuti bukanlah alasan untuk seseorang yang mengaku daei itu"berehat" daripada kerja-kerja dakwah dan tarbiyah kerana istilah sebenar rehat dalam perjuangan ialah mati.

Subhanallah..nampaknya semua tugasan tersebut perlu saya selesaikan dalam minggu ini juga.Apakah tindakan atau perancangan yang perlu saya buat?

Pertama sekali saya perlu betulkan niat buat semua tugasan ini semata-mata kerana ALLAH.Tiada niat kedua dan ketiga.Tujuannya untuk mewujudkan keikhlasan dalam bekerja.Apabila kawan-kawan meminta bantuan kita dalam masa yang sama,apakah yang akan dirasa?Mungkin tanpa disedari,terdetik dalam hati atau mengeluh:

1)kenapa kita?tidak ada orang lain ke yang boleh buat?
2)ingat kita tiada kerja lain ke nak buat?

Jika ada keluhan atau terdetik untuk berkata seperti di atas,cepat-cepat beristighfar kerana istighfar dapat menutup pintu-pintu keburukan dan membuka pintu kebaikan.Bagaimana?

Bisikan seperti di atas akan membuka ruang untuk kita melakukan sesuatu dengan terpaksa,atau dengan kata lain tidak ikhlas.Apabila kita menyedari bisikan seperti itu salah,segeralah mengucapkan istighfar.InsyaALLAH peluang untuk melakukannya dengan ikhlas akan timbul selepas itu.

Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan pastinya ALLAH tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia.Jika anda merasakan bahawa anda selalu menjadi tempat "rujukan" kawan-kawan untuk meminta pertolongan,ingat pesanan ini dalam hati dan amalkannya dengan anggota badan;

"Sebab kawan-kawan percayakan akulah,sebab tu lah mereka minta bantuan aku."
"Sebenarnya ALLAH nak bagi aku banyak pahala dengan menolong kawan-kawan aku.."

Dalam satu hadith juga ditekankan tentang hikmah tersebut.

"barangsiapa yang meringankan beban saudaranya,ALLAH akan meringankan bebannya di dunia dan akhirat."

Terima tugasan itu dengan hati terbuka diiringi dengan senyuman.Senyum itu kan awet muda..=)

Seterusnya saya perlu menyusun tugasan itu mengikut keutamaan.Yang mana important and urgent, saya senaraikannya sebagai perkara pertama kena selesaikan.Seterusnya dengan not important and urgent diikuti dengan important and not urgent. Ini bagi memudahkan saya menyelesaikan tugasan secara teratur.Membuat kerja secara tidak tersusun dan teratur akan menyerabutkan kepala.Senarai tugas itu kadang-kadang dicatat dalam kepala sahaja, kadang-kadang buat reminder atau note dalam handphone sebab handphone merupakan benda yang sentiasa berada dengan kita.Catatan dalam planner juga digalakkan.Ini bagi memudahkan kita merancang dan menyemak kembali apa yang telah kita buat dalam bulan-bulan tertentu.

Ucapan alhamdulillah dilafazkan sekiranya tugasan tersebut dapat diselesaikan.Seharusnya dingat bahawa selesainya sesuatu masalah atau tugasan itu tidak lain tidak bukan dengan izin dan rahmat ALLAH jua.Serapi dan sesistematik mana pun perancangan,kalau tidak kerana izin dan rahmatNYA,sesuatu tugasan dan kerja itu tidak dapat diselesaikan seperti yang dirancangkan.

~Wallahu'alam..~

Wednesday 28 April 2010

Asal usul hari ibu

Bismillahirrahmanirrahim..

Umum sedia maklum yang hari ibu disambut pada bulan ini(kalau tidak silap saya).Dulu-dulu saya dan adik-adik pun pernah mengucapkan selamat hari ibu untuk ibu kami yang kami panggil umi.Pernah juga kami bagi hadiah kat umi..Sekadar yang kami mampu..Tapi itu masa zaman persekolahan,zaman budak-budak,tanpa mengetahui asal-usul atau sejarah hari ibu ini.Berbanding dengan hari kekasih atau valentine's day yang memang sudah lama maklum ia haram dan fatwa tentang pengharaman pun sudah dikeluarkan.

Bagi mengetahui sejarah hari ibu,saya pun browse kat internet dan jumpa satu artikel menarik mengenainya.

******************************************
ASAL USUL HARI IBU

Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Justeru, apakah justifikasi orang-orang Islam merayakan hari tersebut ?

Terjemahan oleh webmaster dari History of Mothers Day

***************************************************

~bagi pendapat saya,sebelum kita meraikan sesuatu hari itu,sebaiknya kita cari dahulu apakah sebab,asal usul sesuatu perayaan atau hari itu disambut.Dengan itu barulah kita tahu objektif dan sebab kenapa kita harus meraikannya.

Sebagai contoh hari ibu.Mungkin bagi sesetengah berpendapat,mereka meraikannya kerana ingin menjadikan hari tersebut sebagai hari istimewa mereka bersama ibu mereka,melafazkan kasih dan cinta bagi menghargai pengorbanan ibu mereka selama ini.

Tetapi bukankah pengorbanan ibu harus dihargai selalu?Tidak perlu satu tarikh yang khusus untuk menghargainya dan melafazkan rasa sayang dan cinta.Hari-hari merupakan hari ibu..

Rasa kasih,sayang dan cinta bukan terhad pada lafaz sahaja. Ketaatan,kepatuhan serta doa untuk kesejahteraan ibu juga merupakan tanda kasih dan cinta pada ibu masing-masing. Ibu tidak pernah minta untuk dihargai,malah jauh sekali untuk minta dibalas segala penat lelahnya menjaga kita selama ini.Pengorbanan setiap ibu itu adalah diiringi rasa tanggungjawab dan tanggungjawab itu lahirnya dari rasa kasih dan sayang kepada anak-anak.
Ayuh!sayangi ibu masing-masing dan luangkan masa semaksima mungkin bersama mereka selagi mereka ada di dunia ini..
p/s:~umi dan abah:pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul~=)

Wednesday 21 April 2010

Cinta Kita... Cinta Perjuangan

Bismillahirrahmaanirrahim..
Bulan 4 pun sudah hampir ke penghujungnya.Pada hujung bulan 4 dan juga bulan 5 ni,bakal menyaksikan beberapa orang pelajar FPSK usim yang akan mendirikan "masjid" mereka masing.Tahniah diucapkan.Semoga kehidupan yang bakal dibina berkekalan hingga ke akhir hayat insyaALLAH.
Disebabkan tidak sempat untuk menulis,saya copy paste kan di sini satu kisah cinta yang meletakkan aqidah sebagai asas perjuangan mereka.
----------------------------------------

Enti menangis..?”
“Untuk apa ana menangis, bukankah akh selalu pesan, jangan menangis kerana manusia.”
“Habis, mata enti berair?”
“Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.
“Ana tahu enti menangis..”

“Tidak…!! Tak faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak.
“Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..”


“Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap akh tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…”


“Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?”


“Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah..”


“Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.

“Akh punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?
………………………………………….


“Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya.


“Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.

“Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?” Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini.

“Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melalui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai’ah? Bezanya, bai’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!”

“Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?”

“Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.”
“Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan ‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.
……………………………………….
“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.


“Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!” Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.


“Jawab soalan aku dulu..”

“Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.


“Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk kali kedua.

“Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!”


“Jawab soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.


“Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "

“Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan.”


“Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.


‘Lagi.. negatifnya?”

“Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,

“Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu.”

“Apa dia..? Negatifkah?”

“Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi.”

“Gerakan militankah?”

“Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!”

“Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?”

“Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hubungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!

“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.


“Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!”
………………………………………….


Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?

“Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?”

“Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.

“Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.

“Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.

“Ustaz tidak main-mainkan ana?”

“Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain.”

“Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..” Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.
………………………………………….

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..

“Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung,

“Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut..”
Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku.


Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber Café yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku,

“SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’

Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej :
“you have 1 unread message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan.

“Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. ‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!”

Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,

“Akh, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!”

Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!

-TAMAT-


Pengarang cerpen ini sedang bermukim di http://www.ahmadfadhli.com/

p/s:~samada hidup mulia atau mati sebagai syuhada'~

Thursday 8 April 2010

InsyaALLAH ada masa..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam kesibukan mencari bahan untuk SSM(special study modul-program wajib fakulti),sempat saya melawat blog sahabat-sahabat seperjuangan. Apabila membaca hasil tulisan mereka, subhanallah..hebat sungguh.Bangga dengan kehebatan mereka menulis. Cemburu kerana mereka mampu menulis tentang siasah,isu semasa,sejarah dan macam-macam lagi,menunjukkan mereka banyak membaca dan pembacaan mereka bukan calang-calang. Rasa tercabar juga kerana diri sendiri tidak mampu untuk mengkhatamkan semua buku yang telah dibeli.

Kalau mereka boleh membaca bahan bacaan seperti itu,saya juga boleh. Kawan-kawan juga tentunya lagi boleh.Kalau sibuk dan tak cukup masa dijadikan alasan(untuk diri sendiri terutamanya),bagi saya itu tidak boleh diterima kerana semua orang punya masa 24 jam,tak kurang dan tak lebih.Bezanya ialah cara menguruskan masa tersebut.

Sebagai nasihat untuk peminat komik,dan penggemar filem,drama dan seumpama dengannya. Tidak salah untuk berhibur dan merehatkan minda setelah seharian mengadap buku pelajaran dengan hobi masing-masing.Cuma,tidak meluangkan terlalu banyak untuk hiburan seperti itu sehingga kita tidak sedar dengan isu yang berlaku di sekeliling kita.

Ayuh kita soroti sirah terdahulu dalam kitab raheeq makhtum atau fiqh sirah,meneliti tafsir Al Quran dalam kitab tafsir Ibnu Kathir dan mengenali hadith seperti yang terkandung dalam Riyadhussolihin karangan Imam Nawawi.

Saya sendiri sedang berusaha untuk menghabiskan buku fiqh sirah karangan Ramadhan Buti kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang buta sejarah,walaupun kini saya mengaku memang agak kelam dengan sejarah kerana bermulanya sesuatu dengan sejarah.Mengenali sejarah mengajak kita mengenali diri dan tujuan hidup kita hari ini.

"Allah sememangnya membuka jalan kalau kita merancang sesuatu perkara yang baik"
~ustaz Ridhuan Ismail~

p/s:sememangnya apa yang ditulis adalah untuk muhasabah diri penulis sendiri..

Tuesday 6 April 2010

Jangan mengumpat!

“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?” Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Ujar Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lagi:Mengumpat ialah:“Engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.” Lalu ditanyakan:
“Bagaimana kalau ada sesuatu yang patut saya kata tentang saudara saya itu?” Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam: “Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka itu bermaknna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu bererti engkau telah mengada-adakan kebohongan terhadapnya.”

Kalau disebut mengumpat,sterotaipnya dikaitkan dengan golongan wanita.Tetapi lelaki pun tidak terlepas juga.Hakikatnya, lelaki dan wanita kedua-duanya sama sahaja.

Mengumpat merupakan perkara yang tidak mendatangkan kerugian sedikit pun pada orang yang diumpat,malah dosa yang diterima oleh pengumpat.

Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya bagaimana? Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.”
(Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Sedar atau tidak,mengumpat menunjukkan seseorang itu mempunyai penyakit hati,penyakit yang jika dibiarkan menyebabkan hati makin kelam dan gelap,dan makin susah untuk dibersihkan melainkan bertaubat dan memohon maaf dari orang yang diumpat.

Apakah punca utama seseorang itu mengumpat?

Antara sebabnya ialah wujudnya hasad dengki,benci-membenci yang menghasilkan umpatan.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menerangkan antara faktor yang menyebabkan timbulnya perasaan hasad ini.Secara ringkasnya antara faktor wujudnya persaaan hasad itu adalah seperti :

i)Perasaan Permusuhan dan Kebencian

ii) Merasa Diri Mulia

iii) Takabbur

iv)Ujub

v)Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

vi)Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

vii) Busuk Hati

Menghadapi golongan pendengki dan pengumpat menyebabkan timbul rasa marah dan sakit hati.Tapi kalau seseorang yang diumpat itu marah balik dan membalas perbuatan pendengki dan pengumpat itu,apa bezanya mereka dengan golongan yang tersebut?

Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang bermaksud:
“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan oleh seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan."

Selalulah bersabar dalam solat supaya tidak membawa perkara tersebut di dalam solat yang boleh mengganggu kekusyukan solat,berdoa memohon dari Allah daripada kejahatan orang lain.

~Bacaan lanjut:
Bahtera Penyelamat karangan ustaz Fathi Yakan
Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali

Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).


Friday 2 April 2010

Muhasabah Cinta



Muhasabah Cinta - EdCoustic

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Corus:
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

p/s:(walaupun lagu ini sudah lama di pasaran,namun lirik ini bagi saya sungguh bermakna)

Sunday 7 March 2010

Ujian

Bagi saya, setiap hari merupakan ujian.Bermula dari bangkit dari tidur sehinggalah tidur kembali. Diuji dengan nikmat,diuji dengan musibah.
Bangkit dari tidur,ALHAMDULILLAH.. Kita masih hidup, setelah ALLAH "matikan" kita untuk seketika. Adakah kita bersyukur?Cuba bayangkan yang kita tiada lagi di dunia ini hari ini, pergi tak kembali dengan dosa-dosa yang menggunung tinggi.Tidak sanggup untuk membayangkan.


Subhanallah..pemurahnya ALLAH..baiknya ALLAH..bagi kita peluang untuk bertaubat dan menambahkan amal ibadat.Tapi, adakah kita menyedari nikmat itu?Bahkan, kita makin jauh,jauh dari ALLAH. Sibuk mengejar dunia hingga kita semakin melupakanNYA.na'udzubillah.


Kisah tha'labah yang memohon dari ALLAH supaya dikurniakan nikmat kekayaan, hingga akhirnya dia meninggalkan solat, sudah cukup untuk dijadikan contoh manusia yang kufur nikmat.


Bilakah kita akan cepat ingat dan dekat pada ALLAH?Jawapannya ialah apabila kita diuji dengan musibah.Ketika itu barulah kita akan ingat padaNYA. Dalam satu hadith yang mafhumnya;


ALLAH perintahkan malaikat menurunkan ujian ke atas hambaNYA kerana ALLAH rindu untuk mendengar rintihan hambaNYA itu.

SubhanaALLAH!Benarlah,ujian itu mendekatkan diri kita padaNYA.Rupa-rupanya ujian itu tandanya ALLAH rindu untuk mendengar suara kita merintih padaNYA, rindu pada kita yang sudah jarang sekali "bercakap" denganNYA.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,manusia mana yang tidak pernah diuji.

Saya juga pernah diuji,dan mungkin juga sedang diuji. Diuji dengan nikmat tubuh badan yang sihat dan masa yang agak lapang,mungkin untuk sementara waktu sebelum sibuk melanda.

Minggu lepas, dirasakan seperti minggu "kegelapan",terasa jiwa ini sedikit kekosongan.Kosong dengan pengisian rohani.Dirasakan ada yang tidak kena, sedikit tergugat ketenangannya. Mungkin usrah yang sudah lama ditinggalkan.Astaghfirullah..

Beberapa hari lepas, handphone saya mengalami sedikit kerosakan.Ya ALLAH..Handphone pada waktu sekarang merupakan perkara haajiyat, tiba-tiba rosak, sedikit membantutkan komunikasi.Mungkin saya telah menyalahgunakannya untuk perkara yang melalaikan.Astaghfirullah..

UjianMU ya ALLAH ada hikmahnya..

Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

"golongan yang paling banyak diturunkan bala/ujian ialah kepada para nabi.Kemudian orang-orang yang soleh,kemudian orang yang mengikuti golongan para nabi dan orang soleh.Setiap orang itu akan diuji berdasarkan agamanya. Lagi kuat agama seseorang itu, lagi kuat bala/ujian yang diturunkan padanya oleh ALLAH"


Wednesday 27 January 2010

Big Inside!

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah,pagi saya hari ini "dimotivasikan" oleh satu cerita kartun yang bertajuk..(err..saya lupa tajuknya.Tapi ia mengisahkan beberapa ekor anak dinasour yang sangat suka mengembara.Mereka ni kawan baik.Ke mana-mana pun bersama. Saling tolong-menolong antara satu sama lain)

"small outside,but big inside"

Suatu hari, kumpulan anak dinasour itu keluar mengembara ke dalam hutan dan tiba-tiba mereka dikejar oleh tiga ekor dinasour pemangsa yang digelar sharptooth. Besar-besar semuanya. Anak-anak dinasour itu kecil sahaja,bolehlah diibaratkan seperti anak gajah dan tikus.


Diringkaskan cerita, 2 ekor anak dinasour dari kumpulan itu terpisah dari kawan mereka yang lain dalam usaha menyelamatkan diri dari dikejar oleh dinasour besar tadi. Mereka terperangkap di atas satu puncak bukit bersama-sama dengan salah seekor sharptooth. Akan tetapi sharptooth itu tidak dapat bergerak dan memakan mereka disebabkan ekornya stuck pada runtuhan batu-batu bukit. Selamatlah mereka untuk seketika sementara menunggu pertolongan kawan-kawan mereka yang lain.


Salah seekor anak dinasour yang terperangkap agak ketakutan tetapi dapat ditenangkan oleh seekor lagi dan berkata mereka akan selamat. Mendengar kata-kata dinasour kecil itu, si sharptooth tadi beberapa kali mengejeknya dengan panggilan little biter dan memandang rendah keupayaannya untuk menyelamatkan diri disebabkan saiznya yang kecil. Apa lagi. dinasour kecil tadi naik berang dan marah si sharptooth tadi dengan mengatakan:
"i'm not little!!"


Dinasour kecil yang ketakutan tadi menenangkan kawannya itu dengan mengatakan:
"you small outside but big inside because you made me feel safe.."
Mendengar kata-kata kawannya itu, dia kembali tenang dan tidak mengendahkan ejekan si sharptooth tadi.


Di akhir cerita, si sharptooth akur dan terpaksa juga meminta pertolongan dinasour kecil yang digelarnya "little biter" tadi untuk melepaskan ekornya yang tersepit itu.
--------------------------------------------------------------------------------------
Walaupun ianya sekadar cerita kartun (kartun dinasour pula tu) namun, ada pengajaran di akhirnya. saya lebih suka mentaarifkan"big inside"sebagai jiwa yang besar.


"mahasiswa berjiwa besar.."
sound's familiar, right?
Walaupun kita sekadar mahasiswa atau nama lainnya pelajar universiti, itu bukanlah halangan untuk kita berfikir dan bertindak melebihi jangkauan, selagi masih dalam ruang syariat yang dibenarkan. Mahasiswa perlu berfikir dan bersifat seperti seorang pemimpin, negarawan kerana mahasiswa kini yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.
Ingin saya petik kata-kata Presiden GAMIS, ust Idris Yussoff berkenaan ke arah pembentukan mahasiswa berjiwa besar:

"Mahasiswa di Indonesia dipasak cita-citanya agar bersifat negarawan. Mereka sudah bijak berbicara soal negara kerana silibus pemikiran sudah dibina di awal usia kepemudaan. Ayuh, mahasiswa! Hari ini kita berbicara soal negara. Ke mana halatuju sosial yang akan kita pacu? Kita fikirkan soal pembangunan ekonomi. Kita berbicara soal kestabilan politik yang akan kita bina. Kita bincangkan pembangunan sosial ke arah insan Rabbani yang kita cita-citakan"


Albert Einstein pernah menyatakan:
"Imagination is more important than knowledge. Knowledge is limited. Imagination encircles the world"


Mari kita bina imaginasi yang menjadi halatuju kita yang idealistik dan realistik.


Stephen R. Covey dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People” berbicara soal salah satu tabiat iaitu :
"Begin with end in mind"