Wednesday, 28 April 2010

Asal usul hari ibu

Bismillahirrahmanirrahim..

Umum sedia maklum yang hari ibu disambut pada bulan ini(kalau tidak silap saya).Dulu-dulu saya dan adik-adik pun pernah mengucapkan selamat hari ibu untuk ibu kami yang kami panggil umi.Pernah juga kami bagi hadiah kat umi..Sekadar yang kami mampu..Tapi itu masa zaman persekolahan,zaman budak-budak,tanpa mengetahui asal-usul atau sejarah hari ibu ini.Berbanding dengan hari kekasih atau valentine's day yang memang sudah lama maklum ia haram dan fatwa tentang pengharaman pun sudah dikeluarkan.

Bagi mengetahui sejarah hari ibu,saya pun browse kat internet dan jumpa satu artikel menarik mengenainya.

******************************************
ASAL USUL HARI IBU

Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Justeru, apakah justifikasi orang-orang Islam merayakan hari tersebut ?

Terjemahan oleh webmaster dari History of Mothers Day

***************************************************

~bagi pendapat saya,sebelum kita meraikan sesuatu hari itu,sebaiknya kita cari dahulu apakah sebab,asal usul sesuatu perayaan atau hari itu disambut.Dengan itu barulah kita tahu objektif dan sebab kenapa kita harus meraikannya.

Sebagai contoh hari ibu.Mungkin bagi sesetengah berpendapat,mereka meraikannya kerana ingin menjadikan hari tersebut sebagai hari istimewa mereka bersama ibu mereka,melafazkan kasih dan cinta bagi menghargai pengorbanan ibu mereka selama ini.

Tetapi bukankah pengorbanan ibu harus dihargai selalu?Tidak perlu satu tarikh yang khusus untuk menghargainya dan melafazkan rasa sayang dan cinta.Hari-hari merupakan hari ibu..

Rasa kasih,sayang dan cinta bukan terhad pada lafaz sahaja. Ketaatan,kepatuhan serta doa untuk kesejahteraan ibu juga merupakan tanda kasih dan cinta pada ibu masing-masing. Ibu tidak pernah minta untuk dihargai,malah jauh sekali untuk minta dibalas segala penat lelahnya menjaga kita selama ini.Pengorbanan setiap ibu itu adalah diiringi rasa tanggungjawab dan tanggungjawab itu lahirnya dari rasa kasih dan sayang kepada anak-anak.
Ayuh!sayangi ibu masing-masing dan luangkan masa semaksima mungkin bersama mereka selagi mereka ada di dunia ini..
p/s:~umi dan abah:pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul~=)

Wednesday, 21 April 2010

Cinta Kita... Cinta Perjuangan

Bismillahirrahmaanirrahim..
Bulan 4 pun sudah hampir ke penghujungnya.Pada hujung bulan 4 dan juga bulan 5 ni,bakal menyaksikan beberapa orang pelajar FPSK usim yang akan mendirikan "masjid" mereka masing.Tahniah diucapkan.Semoga kehidupan yang bakal dibina berkekalan hingga ke akhir hayat insyaALLAH.
Disebabkan tidak sempat untuk menulis,saya copy paste kan di sini satu kisah cinta yang meletakkan aqidah sebagai asas perjuangan mereka.
----------------------------------------

Enti menangis..?”
“Untuk apa ana menangis, bukankah akh selalu pesan, jangan menangis kerana manusia.”
“Habis, mata enti berair?”
“Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum. Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun, aku sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.
“Ana tahu enti menangis..”

“Tidak…!! Tak faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak.
“Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..”


“Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap akh tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…”


“Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?”


“Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah..”


“Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku.

“Akh punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?
………………………………………….


“Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya.


“Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak.

“Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?” Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini.

“Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melalui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bai’ah? Bezanya, bai’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!”

“Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?”

“Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.”
“Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan ‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.
……………………………………….
“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah.


“Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!” Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki.


“Jawab soalan aku dulu..”

“Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya.


“Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk kali kedua.

“Baiklah Muhammad, aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!”


“Jawab soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya.


“Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… "

“Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan.”


“Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya.


‘Lagi.. negatifnya?”

“Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung,

“Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu.”

“Apa dia..? Negatifkah?”

“Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi.”

“Gerakan militankah?”

“Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!”

“Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?”

“Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hubungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!

“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah.


“Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bai’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!”
………………………………………….


Aku tidak tahu kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku?

“Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?”

“Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.

“Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal.

“Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu.

“Ustaz tidak main-mainkan ana?”

“Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain.”

“Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..” Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.
………………………………………….

Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya..

“Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung,

“Mungkin ketaatan ana pada akh cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut..”
Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku.


Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu, aku bergegas ke Ciber CafĂ© yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan Online, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku,

“SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’

Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej :
“you have 1 unread message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan.

“Muhammad, kau apa khabar? Muhammad, aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. ‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan disyaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!”

Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas,

“Akh, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!”

Seterusnya, aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita!

-TAMAT-


Pengarang cerpen ini sedang bermukim di http://www.ahmadfadhli.com/

p/s:~samada hidup mulia atau mati sebagai syuhada'~

Thursday, 8 April 2010

InsyaALLAH ada masa..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam kesibukan mencari bahan untuk SSM(special study modul-program wajib fakulti),sempat saya melawat blog sahabat-sahabat seperjuangan. Apabila membaca hasil tulisan mereka, subhanallah..hebat sungguh.Bangga dengan kehebatan mereka menulis. Cemburu kerana mereka mampu menulis tentang siasah,isu semasa,sejarah dan macam-macam lagi,menunjukkan mereka banyak membaca dan pembacaan mereka bukan calang-calang. Rasa tercabar juga kerana diri sendiri tidak mampu untuk mengkhatamkan semua buku yang telah dibeli.

Kalau mereka boleh membaca bahan bacaan seperti itu,saya juga boleh. Kawan-kawan juga tentunya lagi boleh.Kalau sibuk dan tak cukup masa dijadikan alasan(untuk diri sendiri terutamanya),bagi saya itu tidak boleh diterima kerana semua orang punya masa 24 jam,tak kurang dan tak lebih.Bezanya ialah cara menguruskan masa tersebut.

Sebagai nasihat untuk peminat komik,dan penggemar filem,drama dan seumpama dengannya. Tidak salah untuk berhibur dan merehatkan minda setelah seharian mengadap buku pelajaran dengan hobi masing-masing.Cuma,tidak meluangkan terlalu banyak untuk hiburan seperti itu sehingga kita tidak sedar dengan isu yang berlaku di sekeliling kita.

Ayuh kita soroti sirah terdahulu dalam kitab raheeq makhtum atau fiqh sirah,meneliti tafsir Al Quran dalam kitab tafsir Ibnu Kathir dan mengenali hadith seperti yang terkandung dalam Riyadhussolihin karangan Imam Nawawi.

Saya sendiri sedang berusaha untuk menghabiskan buku fiqh sirah karangan Ramadhan Buti kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang buta sejarah,walaupun kini saya mengaku memang agak kelam dengan sejarah kerana bermulanya sesuatu dengan sejarah.Mengenali sejarah mengajak kita mengenali diri dan tujuan hidup kita hari ini.

"Allah sememangnya membuka jalan kalau kita merancang sesuatu perkara yang baik"
~ustaz Ridhuan Ismail~

p/s:sememangnya apa yang ditulis adalah untuk muhasabah diri penulis sendiri..

Tuesday, 6 April 2010

Jangan mengumpat!

“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?” Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Ujar Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lagi:Mengumpat ialah:“Engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.” Lalu ditanyakan:
“Bagaimana kalau ada sesuatu yang patut saya kata tentang saudara saya itu?” Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam: “Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka itu bermaknna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu bererti engkau telah mengada-adakan kebohongan terhadapnya.”

Kalau disebut mengumpat,sterotaipnya dikaitkan dengan golongan wanita.Tetapi lelaki pun tidak terlepas juga.Hakikatnya, lelaki dan wanita kedua-duanya sama sahaja.

Mengumpat merupakan perkara yang tidak mendatangkan kerugian sedikit pun pada orang yang diumpat,malah dosa yang diterima oleh pengumpat.

Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya bagaimana? Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.”
(Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Sedar atau tidak,mengumpat menunjukkan seseorang itu mempunyai penyakit hati,penyakit yang jika dibiarkan menyebabkan hati makin kelam dan gelap,dan makin susah untuk dibersihkan melainkan bertaubat dan memohon maaf dari orang yang diumpat.

Apakah punca utama seseorang itu mengumpat?

Antara sebabnya ialah wujudnya hasad dengki,benci-membenci yang menghasilkan umpatan.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menerangkan antara faktor yang menyebabkan timbulnya perasaan hasad ini.Secara ringkasnya antara faktor wujudnya persaaan hasad itu adalah seperti :

i)Perasaan Permusuhan dan Kebencian

ii) Merasa Diri Mulia

iii) Takabbur

iv)Ujub

v)Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

vi)Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

vii) Busuk Hati

Menghadapi golongan pendengki dan pengumpat menyebabkan timbul rasa marah dan sakit hati.Tapi kalau seseorang yang diumpat itu marah balik dan membalas perbuatan pendengki dan pengumpat itu,apa bezanya mereka dengan golongan yang tersebut?

Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang bermaksud:
“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan oleh seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan."

Selalulah bersabar dalam solat supaya tidak membawa perkara tersebut di dalam solat yang boleh mengganggu kekusyukan solat,berdoa memohon dari Allah daripada kejahatan orang lain.

~Bacaan lanjut:
Bahtera Penyelamat karangan ustaz Fathi Yakan
Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali

Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).


Friday, 2 April 2010

Muhasabah Cinta



Muhasabah Cinta - EdCoustic

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu

Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu

Corus:
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

p/s:(walaupun lagu ini sudah lama di pasaran,namun lirik ini bagi saya sungguh bermakna)