Tuesday 6 April 2010

Jangan mengumpat!

“Tahukah kalian apa ertinya mengumpat?” Sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya yang lebih tahu.” Ujar Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam lagi:Mengumpat ialah:“Engkau mengatakan tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.” Lalu ditanyakan:
“Bagaimana kalau ada sesuatu yang patut saya kata tentang saudara saya itu?” Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam: “Sekiranya apa yang engkau sebutkan tentang saudaramu itu betul-betul ada padanya, maka itu bermaknna engkau telah mengumpatnya tetapi jika tidak betul maka itu bererti engkau telah mengada-adakan kebohongan terhadapnya.”

Kalau disebut mengumpat,sterotaipnya dikaitkan dengan golongan wanita.Tetapi lelaki pun tidak terlepas juga.Hakikatnya, lelaki dan wanita kedua-duanya sama sahaja.

Mengumpat merupakan perkara yang tidak mendatangkan kerugian sedikit pun pada orang yang diumpat,malah dosa yang diterima oleh pengumpat.

Mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sahabat bertanya bagaimana? Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam menjawab: seorang yang berzina itu kalau bertaubat mungkin taubatnya itu diterima oleh Allah. Akan tetapi orang yang mengumpat tidak akan Allah ampunkan dosanya sehinggalah orang yang diumpatinya itu memaafkannya.”
(Hadith riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Sedar atau tidak,mengumpat menunjukkan seseorang itu mempunyai penyakit hati,penyakit yang jika dibiarkan menyebabkan hati makin kelam dan gelap,dan makin susah untuk dibersihkan melainkan bertaubat dan memohon maaf dari orang yang diumpat.

Apakah punca utama seseorang itu mengumpat?

Antara sebabnya ialah wujudnya hasad dengki,benci-membenci yang menghasilkan umpatan.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada menerangkan antara faktor yang menyebabkan timbulnya perasaan hasad ini.Secara ringkasnya antara faktor wujudnya persaaan hasad itu adalah seperti :

i)Perasaan Permusuhan dan Kebencian

ii) Merasa Diri Mulia

iii) Takabbur

iv)Ujub

v)Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan

vi)Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti

vii) Busuk Hati

Menghadapi golongan pendengki dan pengumpat menyebabkan timbul rasa marah dan sakit hati.Tapi kalau seseorang yang diumpat itu marah balik dan membalas perbuatan pendengki dan pengumpat itu,apa bezanya mereka dengan golongan yang tersebut?

Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang bermaksud:
“Tidak ada satu penanggungan yang lebih dikasihi Allah daripada seteguk kemarahan yang ditelan oleh seseorang. Mana-mana perasaan marah yang dikawal oleh seseorang semata-mata kerana Allah nescaya Allah akan penuhkan batinnya dengan keimanan."

Selalulah bersabar dalam solat supaya tidak membawa perkara tersebut di dalam solat yang boleh mengganggu kekusyukan solat,berdoa memohon dari Allah daripada kejahatan orang lain.

~Bacaan lanjut:
Bahtera Penyelamat karangan ustaz Fathi Yakan
Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali

Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik. (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).


No comments:

Post a Comment